Lawatan

Thursday 25 September 2014

Temuramah bersama Zikri (Buku Jalanan)

Hai buat sahabat-sahabat di Buku Jalanan, apa khabar? Saya Hafifi, editor untuk zine online Soal? Jawab!. Buat sementara ni, zine online ni belum lagi dibuat, sebab saya masih menunggu beberapa pihak untuk ditemuramah. Anda adalah salah satu daripadanya. Diharap anda semua dapat menjawab interview ini ya!

1. Boleh perkenalkan diri anda? Apakah peranan anda dalam Buku Jalanan?

Nama Zikri Rahman. Kalau nak ikut peranan, sama-sama buat semua. Tiada peranan khusus. Mungkin boleh kata semua penggerak Buku Jalanan adalah kurator, pustakawan, koordinator merangkap "buruh buku".

2. Bolehkah anda menceritakan bagaimana datangnya idea untuk menghasilkan sebuah 'gerakan' yang dinamakan Buku Jalanan ini? Apakah terdapat sejarah yang menarik dibelakangnya?

Kalau ikut idea asal adalah dari sebuah gerakan perpustakaan di Amerika Syarikat;nama Street Books. Depa ni kayuh basikal keliling kawasan dan angkut buku.
Cumanya kami di Buku Jalanan secara ideanya adalah untuk "merampas" ruang awam dan jadikan sebagai "ruang wacana". Itulah sejarah mulanya sedikit sebanyak.

3. Siapakah yang merupakan penggerak awal Buku Jalanan? Adakah mereka masih aktif dalam Buku Jalanan?

Penggerak awal,kalau nak ikut hari pertama,kali pertama Buku Jalanan 1.10.11 ada lebih kurang lima orang - Azrie, Seth, Santi, Ibrahim dan aku sendiri. Tapi yang paling penting adalah pengembang kepada idea Buku Jalanan itu sendiri yang semakin ramai. Dan sehingga kini semua masih aktif, macam Seth dia sambung belajar di Seri Iskandar dan dia sama-sama buka Buku Jalanan di sana.

4. Apakah motivasi awal penubuhan Buku Jalanan? Adakah terdapat sebarang falsafah isme-isme yang menjadi sandaran kepada Buku Jalanan?

Motivasi awal? Awal sebab kita rasa kita perlu berbuat sesuatu. Masih banyak ruang yang perlu diteroka dalam perkembangan idea. Awal 2008, kita boleh tengok aktivisme semuanya politikal-partisan. Dan dari situ kita keluar dari kerangka aktivisme partisan.

Isme - secara dogmatiknya tiada tapi beberapa struktur seperti kepercayaan bahawa sesuatu gerakan itu perlu bermula akar rumput, autonomi, organik dan demokratik. Maksudnya tiap-tiap Buku Jalanan ada proses teori dan praksis yang mereka kembangkan sendiri tanpa perlu dogma.

5. Bolehkah anda terangkan, apakah aktiviti yang selalu dilakukan Buku Jalanan, selain daripada menyediakan bahan bacaan percuma? Adakah terdapat sesi diskusi atau bedah buku?

Buku Jalanan, selepas melalui perbincangan secara menyeluruh melihat kepada prinsip B.A.C.A iaitu Books. Arts. Culture. Activism sesuatu yang boleh digunapakai dan dikembangkan lagi. Justeru kebanyakan kerangka perbincangan adalah dalam ruang lingkungan B.A.C.A itu sendiri. 

Kami di Buku Jalanan Shah Alam sendiri,ada beberapa teman kami turut aktif mengeluarkan siri "audio-podcast" isu semasa, penulisan dan mengurus soal isu warga miskin kota serta komuniti dan sebagainya.Paling penting aksi langsung dalam satu-satu isu itu sendiri.

6. Berkenaan Buku Jalanan, pada masa kini, sudah terdapat banyak Buku Jalanan yang bersifat setempat, contohnya Buku Jalanan Temerloh dan Ipoh. Adakah mereka perlu meminta izin daripada Buku Jalanan induk untuk melakukannya di tempat mereka?

Seperti yang dibincangkan di atas tadi, tiap-tiap Buku Jalanan mempunyai pengalaman ber-Buku Jalanan mereka sendiri. Mereka tidak perlu meminta izin kerana Buku Jalanan adalah satu idea yang perlu digerakkan. Ambil contoh,kadang-kadang kita terlepas pandang lokasi Buku Jalanan yang tumbuh tapi kita tetap sokong sebab secara idea, kita menggagas idea dan praktik yang sama; pendemokrasian ruang awam dan wacana.

Apa yang kami di Buku Jalanan Shah Alam buat adalah menyusun Panduan Ber-Buku Jalanan sebagai satu manual ringkas buat teman-teman yang mahu mula ber-Buku Jalanan. Yang paling penting adalah bagaimana cara setiap Buku Jalanan menyesuaikan idea mengikut keadaan setempat.

7. Saya difahamkan bahawa terdapat sukarelawan yang menggerakkan Buku Jalanan ini. Mereka datang daripada pelbagai kelompok dan latar belakang. Bolehkah anda ceritakan mengenai sedikit sebanyak tentang mereka?

Ya, kebanyakan Buku Jalanan mempunyai latar belakang yang berlainan. Ambil contoh, kami di Shah Alam sendiri dari latar belakang pekerja dan pelajar. Ada sesetengah tempat, seperti di Kuching, aktivis hak asasi dan di Temerloh, full-time punkers gitu! Hahaha.Yang pasti,lain-lain latar ini disatukan dengan satu objek; buku. Buku ini boleh dikatakan objek neutral yang politikal. Neutral sebab semua orang boleh baca tapi politikal sebab bukan semua orang boleh "ngam" dengan semua genre buku,contohnya.


8. Adakah anda menetapkan syarat-syarat tertentu untuk menjadi sukarelawan?

Tidak, malahan Buku Jalanan terbuka untuk idea-idea penggerak untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa. Buku Jalanan adalah "idea in motion". Perlu ada pengaliran idea khususnya dari tenaga baru.

9. Saya difahamkan terdapat beberapa Buku Jalanan telah diserbu oleh pihak majlis perbandaran. Bolehkah anda ceritakan kisah disebaliknya?

Ruang tidak pernah neutral, ruang seringkali bersifat politikal. Dan dari situ kita dapat lihat bagaimana kuasa "state" main peranan mengawal ruang awam. Ini terjadi pada teman-teman Buku Jalanan Kuching, Seremban, UiTM Lendu antara contohnya. Teman-teman Buku Pantai di Teluk Chempedak turut pernah mengalaminya. Alasan mereka; buku bahaya! Jual buku! Nah,di situ kita boleh lihat bagaimana.

10. Berkenaan sambutan, bagaimanakah masyarakat memandang anda? Adakah terdapat ramai daripada mereka yang turut serta?

Penglibatan warga setempat sangat memberangsangkan. Kerana itu perkara utama dalam ber-Buku Jalanan adalah penentuan tempat yang strategik dan kenapa kita memilih ruang awam itu sendiri.

11. Sepanjang penubuhan Buku Jalanan, adakah terdapat peristiwa yang menarik pernah anda semua alami? Sudikah untuk dikongsikan bersama pembaca?

Peristiwa menarik adalah dapat berkongsi ruang wacana dengan masyarakat umum. Secara peribadi,peristiwa turun sama aksi protes ketika Hari Buruh adalah sesuautu yang mengujakan. Bertemu teman-teman Buku Jalanan lain di jalanan, dan mengangkat sepanduk "Kuli Yang Maha Mulia"...

12. Siapakah pengunjung Buku Jalanan yang paling anda tidak duga? Adakah beliau itu seorang artis atau ahli politik?

Setakat ini semuanya normal-normal belaka. Tiap-tiap pengunjung adalah istimewa buat kami secara keseluruhannya.

13. Buku Jalanan pernah melibatkan diri dalam beberapa acara seperti Bersih Rock! dan Pesta Buku Alternatif, bukan? Apakah yang dicapai oleh Buku Jalanan apabila turut serta dalam acara-acara begini? Adakah terdapat keperluan untuk menyatakan pendirian politik Buku Jalanan itu sendiri?

Kami di Buku Jalanan tidak segan silu untuk menyatakan pendapat dan sikap dalam berpolitik. Kerana kami percaya bahawa sebagai satu gerakan akar rumput kami perlu upaya menyatakan pandangan dalam lingkungan kami rakyat yang biasa ini. Ingat pesan Wiji dalam soal jika kita tidak berani menyatakan sikap kita ini - 'Apa gunanya banyak baca buku,kalau mulut kau bungkam melulu'

Dan dalam bilangan Buku Jalanan yang sudah melebihi 40 buah yang aktif,rasanya kita sendiri punya ratusan penggerak aktif dan capaian kepada ribuan ahli masyarakat dalam ruang awam dan wacana itu sendiri.

14. Sebelum menamatkan temuramah ini, bolehkah anda kongsikan;

a) 5 buku yang mengubah cara pemikiran anda

- Guerilla Warfare, Che Guevara 
- The People's History of The United States, Howard Zinn 
- Sikap dan Pemikiran, Usman Awang 
- Pedagogy of The Oppressed & The Cultural Action For Freedom,kedua-duanya oleh Paolo Freire

b) Filem yang menarik untuk ditonton

Filem saya gagal, terus terang saya kurang tonton filem. Sikit sangat untuk disenaraikan. Ampun!

c) Lirik lagu yang menginspirasikan anda.

Dua lagu ni, Redemption Songs oleh Bob Marley dan What If Punk Never Happened oleh The King Blues. Emosi liriknya jujur. Amboi!

15. Sekian sahaja temu ramah ini, diharap Buku Jalanan akan terus bergerak dan menyuluh ilmu kepada masyarakat. Terima kasih atas kesudian anda untuk ditemuramah. Sekiranya anda terdapat sebarang maklumat terbaru mengenai Buku Jalanan untuk dikongsikan, anda boleh kongsikan disini.

Terima kasih Fifi sudi wawancara. Apa yang dibicarakan dalam temubual ni adalah sekelumit dari pengalaman teman-teman Buku Jalanan yang dijalankan dari Australia hingga ke Sandakan yang sempat terakam. Sama-sama kita berbagi kasih dan rasa sesama manusia. Sokong gerakan akar rumput di ruang masing-masing dan gerakkan sesuatu.

Cara hubungi Buku Jalanan

Facebook: www.facebook.com/bukujalanan 
Twitter: @bukujalanan 
Blog: Tiada 
Emel : bukujalanan@gmail.com

Cara menyumbang untuk Buku Jalanan:

Boleh terus hantar pada kami di tiap-tiap lokasi Buku Jalanan.

Acara terbaru Buku Jalanan:




Kredit gambar:

https://www.facebook.com/bukujalanantiti
https://www.facebook.com/BukuJalananTemerloh


http://soaljawabzine.blogspot.com/ tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

2 comments:

  1. Ada juga pihak tertentu yang tak suka buku jalanan,sukalah tengok rakyat buta buku

    ReplyDelete