
Hai
buat sahabat-sahabat di Buku Jalanan, apa khabar? Saya Hafifi, editor
untuk zine online Soal? Jawab!. Buat sementara ni, zine online ni belum
lagi dibuat, sebab saya masih menunggu beberapa pihak untuk ditemuramah.
Anda adalah salah satu daripadanya. Diharap anda semua dapat menjawab
interview ini ya!
1. Boleh perkenalkan diri anda? Apakah peranan anda dalam Buku Jalanan?
Nama
Zikri Rahman. Kalau nak ikut peranan, sama-sama buat semua. Tiada
peranan khusus. Mungkin boleh kata semua penggerak Buku Jalanan adalah
kurator, pustakawan, koordinator merangkap "buruh buku".
2.
Bolehkah anda menceritakan bagaimana datangnya idea untuk menghasilkan
sebuah 'gerakan' yang dinamakan Buku Jalanan ini? Apakah terdapat
sejarah yang menarik dibelakangnya?
Kalau ikut idea
asal adalah dari sebuah gerakan perpustakaan di Amerika Syarikat;nama
Street Books. Depa ni kayuh basikal keliling kawasan dan angkut buku.
Cumanya
kami di Buku Jalanan secara ideanya adalah untuk "merampas" ruang awam
dan jadikan sebagai "ruang wacana". Itulah sejarah mulanya sedikit
sebanyak.
3. Siapakah yang merupakan penggerak awal Buku Jalanan? Adakah mereka masih aktif dalam Buku Jalanan?
Penggerak
awal,kalau nak ikut hari pertama,kali pertama Buku Jalanan 1.10.11 ada
lebih kurang lima orang - Azrie, Seth, Santi, Ibrahim dan aku sendiri.
Tapi yang paling penting adalah pengembang kepada idea
Buku Jalanan itu sendiri yang semakin ramai. Dan sehingga kini semua
masih aktif, macam Seth dia sambung belajar di Seri Iskandar dan dia
sama-sama buka Buku Jalanan di sana.
4. Apakah motivasi
awal penubuhan Buku Jalanan? Adakah terdapat sebarang falsafah
isme-isme yang menjadi sandaran kepada Buku Jalanan?
Motivasi
awal? Awal sebab kita rasa kita perlu berbuat sesuatu. Masih banyak
ruang yang perlu diteroka dalam perkembangan idea. Awal 2008, kita boleh
tengok aktivisme semuanya politikal-partisan. Dan dari situ kita keluar
dari kerangka aktivisme partisan.

Isme - secara
dogmatiknya tiada tapi beberapa struktur seperti kepercayaan bahawa
sesuatu gerakan itu perlu bermula akar rumput, autonomi, organik dan demokratik. Maksudnya tiap-tiap Buku Jalanan ada proses teori dan praksis yang mereka kembangkan sendiri tanpa perlu dogma.
5.
Bolehkah anda terangkan, apakah aktiviti yang selalu dilakukan Buku
Jalanan, selain daripada menyediakan bahan bacaan percuma? Adakah
terdapat sesi diskusi atau bedah buku?
Buku Jalanan,
selepas melalui perbincangan secara menyeluruh melihat kepada prinsip
B.A.C.A iaitu Books. Arts. Culture. Activism sesuatu yang boleh
digunapakai dan dikembangkan lagi. Justeru kebanyakan kerangka
perbincangan adalah dalam ruang lingkungan B.A.C.A itu sendiri.
Kami
di Buku Jalanan Shah Alam sendiri,ada beberapa teman kami turut aktif
mengeluarkan siri "audio-podcast" isu semasa, penulisan dan mengurus
soal isu warga miskin kota serta komuniti dan sebagainya.Paling penting
aksi langsung dalam satu-satu isu itu sendiri.
6.
Berkenaan Buku Jalanan, pada masa kini, sudah terdapat banyak Buku
Jalanan yang bersifat setempat, contohnya Buku Jalanan Temerloh dan
Ipoh. Adakah mereka perlu meminta izin daripada Buku Jalanan induk untuk
melakukannya di tempat mereka?
Seperti yang
dibincangkan di atas tadi, tiap-tiap Buku Jalanan mempunyai pengalaman
ber-Buku Jalanan mereka sendiri. Mereka tidak perlu meminta izin kerana
Buku Jalanan adalah satu idea yang perlu digerakkan. Ambil
contoh,kadang-kadang kita terlepas pandang lokasi Buku Jalanan yang
tumbuh tapi kita tetap sokong sebab secara idea, kita menggagas idea dan
praktik yang sama; pendemokrasian ruang awam dan wacana.
Apa
yang kami di Buku Jalanan Shah Alam buat adalah menyusun Panduan
Ber-Buku Jalanan sebagai satu manual ringkas buat teman-teman yang mahu
mula ber-Buku Jalanan. Yang paling penting adalah bagaimana cara setiap
Buku Jalanan menyesuaikan idea mengikut keadaan setempat.
7.
Saya difahamkan bahawa terdapat sukarelawan yang menggerakkan Buku
Jalanan ini. Mereka datang daripada pelbagai kelompok dan latar
belakang. Bolehkah anda ceritakan mengenai sedikit sebanyak tentang
mereka?

Ya, kebanyakan Buku Jalanan mempunyai latar
belakang yang berlainan. Ambil contoh, kami di Shah Alam sendiri dari
latar belakang pekerja dan pelajar. Ada sesetengah tempat, seperti di
Kuching, aktivis hak asasi dan di Temerloh, full-time punkers gitu!
Hahaha.Yang pasti,lain-lain latar ini disatukan dengan satu objek; buku.
Buku ini boleh dikatakan objek neutral yang politikal. Neutral sebab
semua orang boleh baca tapi politikal sebab bukan semua orang boleh
"ngam" dengan semua genre buku,contohnya.
8. Adakah anda menetapkan syarat-syarat tertentu untuk menjadi sukarelawan?
Tidak,
malahan Buku Jalanan terbuka untuk idea-idea penggerak untuk
penambahbaikan dari semasa ke semasa. Buku Jalanan adalah "idea in
motion". Perlu ada pengaliran idea khususnya dari tenaga baru.
9.
Saya difahamkan terdapat beberapa Buku Jalanan telah diserbu oleh pihak
majlis perbandaran. Bolehkah anda ceritakan kisah disebaliknya?
Ruang
tidak pernah neutral, ruang seringkali bersifat politikal. Dan dari
situ kita dapat lihat bagaimana kuasa "state" main peranan mengawal
ruang awam. Ini terjadi pada teman-teman Buku Jalanan
Kuching, Seremban, UiTM Lendu antara contohnya. Teman-teman Buku Pantai
di Teluk Chempedak turut pernah mengalaminya. Alasan mereka; buku bahaya! Jual buku! Nah,di situ kita boleh lihat bagaimana.

10. Berkenaan sambutan, bagaimanakah masyarakat memandang anda? Adakah terdapat ramai daripada mereka yang turut serta?
Penglibatan
warga setempat sangat memberangsangkan. Kerana itu perkara utama dalam
ber-Buku Jalanan adalah penentuan tempat yang strategik dan kenapa kita memilih ruang awam itu sendiri.
11.
Sepanjang penubuhan Buku Jalanan, adakah terdapat peristiwa yang
menarik pernah anda semua alami? Sudikah untuk dikongsikan bersama
pembaca?
Peristiwa menarik adalah dapat berkongsi ruang
wacana dengan masyarakat umum. Secara peribadi,peristiwa turun sama
aksi protes ketika Hari Buruh adalah sesuautu yang mengujakan. Bertemu teman-teman Buku Jalanan lain di jalanan, dan mengangkat sepanduk "Kuli Yang Maha Mulia"...
12. Siapakah pengunjung Buku Jalanan yang paling anda tidak duga? Adakah beliau itu seorang artis atau ahli politik?
Setakat ini semuanya normal-normal belaka. Tiap-tiap pengunjung adalah istimewa buat kami secara keseluruhannya.
13.
Buku Jalanan pernah melibatkan diri dalam beberapa acara seperti Bersih
Rock! dan Pesta Buku Alternatif, bukan? Apakah yang dicapai oleh Buku
Jalanan apabila turut serta dalam acara-acara begini?
Adakah terdapat keperluan untuk menyatakan pendirian politik Buku
Jalanan itu sendiri?
Kami di Buku Jalanan tidak segan
silu untuk menyatakan pendapat dan sikap dalam berpolitik. Kerana kami
percaya bahawa sebagai satu gerakan akar rumput kami perlu upaya menyatakan pandangan dalam lingkungan kami rakyat yang biasa ini. Ingat
pesan Wiji dalam soal jika kita tidak berani menyatakan sikap kita ini -
'Apa gunanya banyak baca buku,kalau mulut kau bungkam melulu'
Dan
dalam bilangan Buku Jalanan yang sudah melebihi 40 buah yang
aktif,rasanya kita sendiri punya ratusan penggerak aktif dan capaian
kepada ribuan ahli masyarakat dalam ruang awam dan wacana itu sendiri.
14. Sebelum menamatkan temuramah ini, bolehkah anda kongsikan;
a) 5 buku yang mengubah cara pemikiran anda
-
Guerilla Warfare, Che Guevara
- The People's History of The United
States, Howard Zinn
- Sikap dan Pemikiran, Usman Awang
- Pedagogy of The
Oppressed & The Cultural Action For Freedom,kedua-duanya oleh Paolo Freire
b) Filem yang menarik untuk ditonton
Filem saya gagal, terus terang saya kurang tonton filem. Sikit sangat untuk disenaraikan. Ampun!
c) Lirik lagu yang menginspirasikan anda.
Dua lagu ni, Redemption Songs oleh Bob Marley dan What If Punk Never Happened oleh The King Blues. Emosi liriknya jujur. Amboi!
15.
Sekian sahaja temu ramah ini, diharap Buku Jalanan akan terus bergerak
dan menyuluh ilmu kepada masyarakat. Terima kasih atas kesudian anda
untuk ditemuramah. Sekiranya anda terdapat sebarang
maklumat terbaru mengenai Buku Jalanan untuk dikongsikan, anda boleh
kongsikan disini.
Terima kasih Fifi sudi wawancara. Apa
yang dibicarakan dalam temubual ni adalah sekelumit dari pengalaman
teman-teman Buku Jalanan yang dijalankan dari Australia
hingga ke Sandakan yang sempat terakam. Sama-sama kita berbagi kasih
dan rasa sesama manusia. Sokong gerakan akar rumput di ruang
masing-masing dan gerakkan sesuatu.
Cara hubungi Buku Jalanan
Facebook: www.facebook.com/bukujalanan
Twitter: @bukujalanan
Blog: Tiada
Emel : bukujalanan@gmail.com
Cara menyumbang untuk Buku Jalanan:
Boleh terus hantar pada kami di tiap-tiap lokasi Buku Jalanan.
Acara terbaru Buku Jalanan:
Kredit gambar:
https://www.facebook.com/bukujalanantiti
https://www.facebook.com/BukuJalananTemerloh
http://soaljawabzine.blogspot.com/ tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.